Webinar Bank Standard Chartered Brunei bincang The Aftershock

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Bank Standard Chartered Brunei, kelmarin, telah menganjurkan Global Research Brief H2 2020 bagi pelanggan korporat di mana pelbagai perkongsian telah disampaikan oleh para pakar ekonomi dari seluruh dunia mengenai pandangan mereka terhadap tahun mendatang.

Seminar yang pertama kali dianjurkan secara maya tersebut telah disertai oleh lebih 100 orang pelanggan korporat dan stakeholder bank tersebut.

Turut berkesudian bagi menyampaikan ucaptama ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.

Semasa webinar tersebut, Ketua Ekonomi ASEAN dan Asia Selatan, Edward Lee bersama Ketua ASA FX Research Strategist, Divya Devesh telah membentangkan pandangan mereka terhadap The Aftershock dan membincangkan implikasi perkembangan pasaran terkini terhadap ASEAN dan Brunei.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Standard Chartered Brunei, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa beliau bangga dan teruja untuk mengalu-alukan peserta seminar dalam talian tersebut.

Jelasnya sebagai bank antarabangsa, ia adalah bukti keupayaan yang dapat mereka manfaatkan untuk berkongsi maklumat yang penting bagi organisasi berkenaan secara berkala.

Pada Februari lalu, Bank Standard Chartered telah memulakan tahunnya dengan Global Research Brief untuk mengongsikan pandangan mereka bagi 2020.

Selain itu beliau turut menyatakan bahawa ia merupakan separuh tahun pertama yang mencabar namun sebaik sahaja semakin banyak pasaran bangkit daripada lockdown, mereka melihat beberapa perkembangan dan indikator sentimen yang menunjukkan bahawa pemulihan dapat dilaksanakan.

Tema bagi Global Research Briefing pada tahun ini ialah The Aftershock serta menyusuli penerbitan Global Focus, Standard Chartered.