Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Webinar beriga pelaburan ETF

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Baiduri Capital, baru-baru ini, telah meneruskan siri seminar berpendidikan dalam talian (webinar), bersempena ulang tahun ke-5, dengan tajuk Investing in ETFs During COVID-19.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, hari ini, webinar pada 25 Oktober lalu itu dikendalikan oleh Pakar Pembangunan Perniagaan Exchange Traded Funds (ETF) dari Nikko Asset Management, Calvin Neo.

    ETF adalah sejenis dana pelaburan dan produk pertukaran-dagangan yang serupa dengan dana mutual tetapi dijual dan dibeli sepanjang hari di bursa saham.

    Kenyataan menyatakan bahawa semasa webinar berkenaan, para peserta diberikan penjelasan mengenai pelbagai jenis ETF dan juga diajar mengenai strategi bagi pelaburan dalam ETF.

    Calvin juga memberikan penjelasan mengenai faktor-faktor untuk dipertimbangkan apabila melabur termasuk panjang umur ETF, risiko, pentingnya untuk mempelbagaikan dan petua berguna bagi pelabur ETF selepas pandemik nanti.

    Webinar mendedahkan para peserta mengenai pelaburan dalam ETF semasa COVID-19. – Gambar serahan Bank Baiduri

    Di samping itu, beliau juga mengendalikan latihan pendek menggunakan kajian kes untuk mengajar para peserta bagaimana untuk membaca lembaran fakta ETF dan menganalisis jenis-jenis ETF yang menunjukkan prestasi yang baik semasa pandemik masa ini.

    Sesi itu diadakan bertujuan untuk memberikan peluang kepada para peserta berkumpul dan membaca maklumat yang diperlukan serta untuk membuat keputusan yang tepat apabila melabur dalam ETF.

    Pengurus Besar Baiduri Capital, Peng Eng Soon dipetik menyatakan bahawa webinar berpendidikan itu bermatlamat untuk melengkapkan pelabur-pelabur mereka dengan ilmu pengetahuan mengenai pelbagai jenis pelaburan yang terdapat bagi mereka dalam pasaran antarabangsa.

    Lebih daripada itu, jelasnya lagi, Baiduri Capital bersama rakan-rakan kongsinya, juga ingin memberikan pelabur-pelabur mereka analisis mendalam mengenai pelbagai jenis pelaburan dengan harapan portfolio mereka akan dipelbagaikan serta mendapat perspektif lebih global mengenai trend pasaran serantau dan antarabangsa.

    Webinar itu merupakan yang kedua dalam siri webinar berpendidikan Baiduri Capital yang dianjurkan sebagai sebahagian daripada ulang tahun ke-5 dengan lebih banyak webinar dan aktiviti bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai produk dan perkhidmatan pelaburan dirancang dalam minggu-minggu mendatang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda