BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – BEL-LATCH Lactation Support, penyokong pendidikan dan penyusuan susu ibu, baru-baru ini telah mengadakan webinar bertajuk Penyusuan semasa Ramadan yang dihadiri lebih 100 orang peserta.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, webinar percuma pada 8 Mac lalu itu bertujuan untuk memberikan bimbingan berharga kepada ibu-ibu yang menghadapi cabaran unik penyusuan pada bulan yang suci ini.
Semasa webinar itu, para peserta terlibat secara aktif dalam sesi berinformasi yang dihoskan oleh Kaunselor Penyusuan BEL-LATCH, Dayang Nabilah Nor Amin.
Selain itu para peserta juga mendapat pandangan yang berharga untuk mengekalkan rutin penyusuan yang sihat sambil berpuasa.
Topik-topik yang disentuh meliputi pemakanan, penghidratan, penjadualan pengepaman susu ibu, dan strategi penjagaan diri, menawarkan penyelesaian praktikal untuk ibu dan anak damit mereka.
Sambutan yang menggalakkan terhadap inisiatif berkenaan menekankan keperluan yang semakin meningkat untuk sokongan khusus dalam amalan dan budaya penyusuan susu ibu.


