Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Webinar bincang inovasi pendidikan cemerlang

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Lebih 600 orang peserta yang terdiri daripada tenaga pengajar dari sekolah rendah dan menengah, maktab, pusat tingkatan enam kerajaan dan swasta, institusi-institusi pengajian tinggi awam (APTA) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) menyertai Webinar Hari Guru sempena Sambutan Hari Guru ke-31 secara maya, kelmarin.

    Webinar yang dianjurkan bersama oleh Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA), Jabatan Pengurusan Pendidik dan Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE), Universiti Brunei Darussalam (UBD) itu telah dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman selaku tetamu kehormat.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, setiausaha-setiausaha tetap, naib-naib canselor dari UBD dan Universiti Teknologi Brunei (UTB), rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), ra’es Kolej Universiti Perguruan Seri Begawan (KUPU SB), timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai, pemimpin-pemimpin sekolah dan para pendidik dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal-Ehwal Ugama (KHEU).

    Webinar itu merupakan salah satu acara sempena Sambutan Hari Guru ke-31 yang bertujuan untuk menyediakan platform kepada para tenaga pengajar berkongsi dan membincangkan amalan yang berinovatif untuk meningkatkan prestasi pelajar dan kualiti pendidikan negara selaras dengan tema Hari Guru 2021 iaitu Pendidikan Berkualiti Teras Kecemerlangan Pelajar.

    Tema webinar, ‘Memperkasa Kecemerlangan Pendidikan Melalui Inovasi’ dibahagikan kepada empat sub-tema iaitu Inovasi dalam Perangkaan Semula Kurikulum, Pelaksanaan Inovasi dalam Pedagogi, Kepentingan Inovasi dalam Penilaian dan Profesionalisme Guru. Keempat-empat sub-tema yang dibincangkan adalah diselaraskan dengan pelaksanaan inovasi pendidikan semasa wabak COVID-19.

    Webinar itu menyaksikan ucaptama bertajuk An Introduction to Differentiating Instruction: Why, What and How disampaikan oleh Profesor Carol Ann Tomlinson dari Amerika Syarikat yang memberikan pengenalan ringkas mengenai Differentiation dan strategi-strategi yang boleh diguna pakai bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menarik.

    Beliau juga mengendalikan bengkel bertajuk penilaian yang diamalkan oleh guru-guru di Negara Brunei Darussalam dari semua peringkat pendidikan dan disiplin sesuai dengan pengajaran dan pembelajaran semasa COVID-19. Selain itu, beberapa siri mini-webinar juga akan diadakan bermula esok sehingga 30 November yang mana sebanyak 18 kertas kerja akan dibentangkan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah menyertai webinar Hari Guru sempena Sambutan Hari Guru ke-31 secara maya, baru-baru ini. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda