Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Dengan mengetengahkan bagaimana insurans dan takaful boleh membantu mengembangkan simpanan serta membina harta, Persatuan Insurans dan Takaful Brunei (BITA) baru-baru ini telah mengadakan webinar bertajuk From Protection to Security – How Insurance & Takaful Can Help You Grow Your Savings and Build Wealth.
Dalam kata alu-aluannya, Pengerusi BITA, Haji Shahrildin bin Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Haji Jaya mengetengahkan komitmen BITA untuk menyokong dan berusaha ke arah wawasan 2035 di mana pendidikan dan pengetahuan merupakan tunggak yang penting.
Komitmen itu, ulasnya, adalah selaras dengan visi BITA iaitu memajukan ke arah sebuah industri takaful dan insurans dinamik dan profesional di Brunei Darussalam.
Webinar berkenaan mengetengahkan panel pembentang yang terdiri daripada Pengarah Bersekutu Kanan AIA Singapore Pte Ltd (Cawangan Brunei), Ang Kian Guan dan Ketua Aktuari Syarikat Takaful Brunei Darussalam, Ariff Leong di mana mereka membincangkan mengenai pentingnya insurans dan takaful dalam membina harta dan mengembangkan simpanan.
Webinar yang dikendalikan oleh Pengurus Am Program Serantau, Asia Inc Forum, Andrew Dy itu menekankan bagaimana insurans dan takaful dapat melindungi individu dan keluarga daripada kerugian kewangan disebabkan oleh keadaan yang tidak dijangka serta juga menjadi satu instrumen simpanan dan pelaburan. Satu tip kewangan yang dicadangkan ialah nisbah bajet pendapatan 4:3:2:1 iaitu 40 peratus pembiayaan, 30 peratus perbelanjaan, 20 peratus simpanan dan 10 peratus insurans atau takaful.