Webinar kupas isu keselamatan jalan raya

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Pusat Penyelidikan Pengangkutan (CfTR) Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini, telah menganjurkan webinar bersama mengenai keselamatan jalan raya.

UTB dalam kenyataannya menjelaskan, webinar bertajuk ‘Memperluaskan Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Melangkaui Sempadan’ itu bertujuan untuk mengenal pasti isu-isu umum mengenai keselamatan jalan raya dan penemuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) baru-baru ini di Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan rantau ini untuk memudahkan projek R&D bersama dan pertukaran pengetahuan pada masa hadapan.

Webinar telah dimulakan dengan pengenalan webinar oleh moderator, Ketua Unit Operasi & Pengurusan Data Ranap, MIROS, TS. Ahmad Noor Syukri Zainal Abidin dan Pengarah CfTR, UTB, Dr Tan Soon Jiann.

Kemudian majlis mendengarkan ucapan perasmian daripada Profesor Adjung dan Ketua Pengarah MIROS, Dato’ Dr Khairil Anwar bin Abu Kassim; dan Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

Webinar ini terdiri daripada dua sesi dan lapan siri pembentangan mengenai isu keselamatan jalan raya yang menghimpunkan pakar dari Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.

Ia merupakan salah satu inisiatif di bawah memorandum persefahaman yang menyediakan platform untuk pesertanya mengembangkan pengetahuan dan pemahaman tentang beberapa penemuan R&D terkini mengenai isu kontemporari keselamatan jalan raya di rantau ini di mana lebih kurang 100 orang peserta telah menghadirinya.

Dr Tan Soon Jiann semasa menyampaikan taklimat pada webinar berkenaan.