Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – PUJA Academy Sdn Bhd dengan kerjasama Steven Thiru & Sudhar Partnership, kelmarin, menganjurkan webinar bertajuk Planet v. Profit: Kepatuhan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan Trend Kenaikan Pertikaian Berkaitan ESG.
Seramai 36 peserta mengambil bahagian dalam webinar berkenaan yang melibatkan perbincangan mendalam dan memperoleh pemahaman lebih mendalam mengenai cabaran kepatuhan ESG.
Acara dikendalikan oleh pakar ESG, David Dinesh Mathew yang memberi tumpuan kepada kepentingan yang semakin meningkat terhadap peraturan ESG dan risiko undang-undang yang berkaitan dengan ketidakpatuhan.
Memandangkan syarikat-syarikat menghadapi tekanan semakin meningkat untuk selaras dengan prinsip ESG, sesi tersebut meneroka kesan kegagalan untuk memenuhi piawaian itu, terutamanya di rantau seperti Eropah, Australia dan New Zealand, di mana litigasi berkaitan ESG telah meningkat.
Webinar yang diadakan melalui aplikasi Zoom itu menyediakan visi yang berharga mengenai aplikasi global peraturan ESG, membantu profesional untuk mengikuti perkembangan landskap kepatuhan yang sentiasa berubah.
Inisiatif pendidikan oleh PUJA itu mencerminkan komitmennya untuk membekalkan profesional dengan pengetahuan yang diperlukan untuk mengharungi trend dan cabaran industri global.