Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Majlis Usahawan Muda ASEAN (AYEC) berjaya melancarkan Webinar Dalam Talian AYEC berjudul Bangkit dan Perdagangan: Membuka Potensi Serantau ASEAN baru-baru ini.
Webinar berkenaan dianjurkan oleh Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan AYEC, diketuai bersama oleh Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) dan Dewan Perniagaan Usahawan Muda Thailand.
Webinar berkenaan dikendalikan oleh pengasas bersama Tyne Solutions dan Naib Presiden II YEAB, Aimi Ramlee di mana telah menghimpunkan pemimpin pemikiran utama untuk membincangkan peluang perdagangan dan strategi pelaburan dalam ASEAN.
Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai dalam ucapan perasmiannya, menekankan komitmen ASEAN untuk memupuk perdagangan dan pelaburan serantau.
Sesi pada masa itu menampilkan pandangan pakar daripada ahli panel dari syarikat Hasnah Hassan & Associates, Brunei, Dayang Aziimah Hambali, yang menggariskan pertimbangan undang-undang utama untuk urus niaga rentas sempadan, termasuk risiko pematuhan, percukaian dan penguatkuasaan kontrak.
Selain itu, ahli panel dari Seri Manop & Doyle Ltd, Thailand, Mike Doyle pula memberikan perkongsian berhubung analisis strategik tentang peluang pelaburan asing dan cabaran kawal selia di ASEAN.
Dengan penyertaan lebih 30 peserta dari negara ASEAN, webinar berkenaan memudahkan perbincangan dan peluang rangkaian, mengukuhkan misi AYEC untuk memperkasakan usahawan muda dan memacu kerjasama ekonomi di seluruh rantau ini.
Semua di atas: Antara tangkap layar semasa webinar berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN AYEC