Thursday, March 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Webinar teroka prospek Malaysia

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Bank Standard Chartered (StanChart) Brunei dan Bank StanChart Malaysia bekerjasama menganjurkan webinar hibrid mengenai prospek Malaysia di Serambi Batil, Tarindak D’Seni, dihadiri oleh para pelanggan bank berkenaan baru-baru ini.

    Menurut kenyataan diterima dari bank tersebut di sini hari ini, webinar turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif StanChart Brunei, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif StanChart Malaysia, Abrar A.Anwar.

    Pengiran Aki Ismasufian dalam ucapan alu-aluannya menekankan bahawa StanChart sebagai satu-satunya bank antarabangsa di Brunei dan 10 lagi pasaran ASEAN lain, terus membantu pelanggan memanfaatkan peluang bukan sahaja di rantau ini, malah pasaran koridor utama.

    “Melalui rangkaian serantau dan antarabangsa, kami dapat menawarkan perbankan global dan akses lancar untuk pelanggan kami ke 59 pasaran yang kami kendalikan.

    “Kemampuan Priority dan International Banking membolehkan pelanggan kami membuka akaun, memindahkan dana dalam akaun perbankan global dan dikenali di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

    Pengiran Aki Ismasufian ketika menyampaikan ucapannya semasa webinar berkenaan. – Gambar serahan StanChart

    “Sebagai peneraju pasaran dalam pengurusan harta ditambah dengan kemampuan untuk melintasi sempadan, kami berada di tempat yang baik untuk membantu meneroka dan mengembangkan pelaburan para pelanggan,” katanya lagi.

    Dalam pada itu, Abrar A. Anwar pula menjelaskan, hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei yang kukuh sejak Januari 1984 terus kekal sehingga kini.

    “Kami percaya ini akan bertambah kukuh berdasarkan pemahaman yang mendalam antara satu sama lain selain ia juga merupakan hasil hubungan persahabatan yang disifatkan banyak persamaan dalam budaya, bahasa dan agama, terutamanya di Borneo yang mana sempadan bersambung di Malaysia Timur,” jelasnya.

    Hubungan dua hala dalam pelbagai bidang ini termasuk-lah pelaburan, pertahanan, pendidikan dan juga kesihatan, tambahnya.

    Semasa webinar itu, Pegawai Pengambilan Pelajar Antarabangsa Curtin University Malaysia, Jeffery Peter Goh turut berkongsi prospek belajar di Malaysia. Ini diikuti dengan pembentangan oleh Penilai Berdaftar di bawah Lembaga Penilai, Penaksir dan Ejen Estet, Malaysia CH Williams Talhar Wong & Yeo Sdn Bhd, Robert Ting Kang Sung yang menyampaikan tinjauan mengenai hartanah di Sarawak, Malaysia.

    Pengurus Cawangan Bank StanChart Malaysia Berhad Miri, Lawrence Lee Chon Phin juga berkongsi kemampuan perbankan untuk pelanggan Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda