Saturday, December 2, 2023
22.9 C
Brunei

    -

    Wee Wern gagal bangkit semula

    KUALA LUMPUR, 22 NOV – Bekas pemain kelima dunia, Low Wee Wern, yang masih jauh daripada prestasi terbaik selepas menjalani pembedahan lutut kali keempat, tersingkir awal pada kejohanan skuasy Terbuka Malaysia 2022 kelmarin.

    Beraksi di kejohanan keduanya selepas 16 bulan berehat sejak Kejohanan Dunia Julai lepas, pemain berusia 32 tahun itu dilihat bergelut menentang seorang lagi pemain Malaysia, Chan Yiwen di Pusat Skuasy Nasional di sini.

    Yiwen, 22, meraih kemenangan mudah 11-4, 11-9, 11-4 dalam masa 28 minit, untuk menempah pertemuan dengan pilihan keenam yang juga pemain di ranking ke-33, Melissa Alves dari Perancis pada pusingan kedua esok.

    Wee Wern, bekas pemenang pingat perak Sukan Asia, turut tersingkir awal di Terbuka Singapura minggu lepas, yang juga kejohanan kompetitif pertamanya selepas menjalani pembedahan lutut kanan tahun lepas.

    Wee Wern sebelum ini pernah membuat kebangkitan semula apabila memenangi gelaran Terbuka Malaysia 2018 sekembalinya daripada pembedahan lutut buat kali ketiga.

    Yiwen yang menghuni kedudukan ke-86 dunia itu berkata kemenangan hari ini amat penting untuknya mendapatkan kembali keyakinan selepas tersingkir di pusingan awal pada edisi lepas dan tidak dapat beraksi cemerlang pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia di Korea Selatan, awal bulan ini.

    “Saya hanya melakukan peranan saya dan memastikan objektif saya sangat jelas, iaitu untuk fokus pada perlawanan dan meneruskannya untuk esok. Saya harap dia (Wee Wern) akan okey, pada set kedua dia agak terkesan, mungkin lututnya masih belum pulih.

    “Saya tidak pernah berdepan Melissa sebelum ini, tidak boleh jangka. Hanya bersiap sedia berdasarkan analisis video dan bekerjasama dengan kejurulatihan untuk merancang strategi sesuai,” katanya. – Bernama

    Atlet Malaysia, Chan Yiwen (kanan) menentang rakan senegara, Low Wee Wern (kiri) pada Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia 2022 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil kelmarin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    New Zealand larang guna telefon bimbit di sekolah

    WELLINGTON, 1 DIS – Telefon bimbit akan dilarang di sekolah-sekolah di seluruh New Zealand, kata Perdana Menteri konservatif Christopher Luxon hari ini, ketika kerajaannya...