KUALA LUMPUR, 1 OKT – Beregu lelaki Malaysia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun perlu mengekalkan ranking dalam kelompok lapan terbaik bagi membolehkan mereka membuat penampilan pertama di Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China hujung tahun ini.
Wei Chong berkata terdapat empat lagi kejohanan iaitu Terbuka Artik, Terbuka Denmark, Masters Jepun dan Masters China, dan mereka sekurang-kurangnya perlu layak ke suku akhir pada setiap kejohanan berkenaan.
“Kami tak pernah layak (Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF). Jadi, saya harap kami akan layak tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Berdasarkan format kejohanan, hanya lapan pemain terbaik dalam ranking kelayakan boleh beraksi pada kejohanan berkenaan.
Kemas kini ranking Jelajah Dunia BWF semalam menunjukkan beregu lelaki utama Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berada pada kedudukan ke-15. Juara Terbuka China, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula berada dalam kedudukan terbaik untuk layak apabila masing-masing menghuni ranking kelima dan ketujuh.
Dalam perkembangan lain, beregu lelaki negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri sah menarik diri daripada menyertai Terbuka Artik minggu hadapan, selepas Hon Jian mengalami kecederaan pinggang ketika sesi latihan minggu lepas. – Bernama