KUALA LUMPUR, 25 MEI – Beregu lelaki Malaysia Man Wei Chong-Tee Kai Wun akhirnya menebus kekecewaan sebagai naib juara edisi 2023 apabila muncul juara Masters Malaysia 2025 selepas mengejutkan rakan senegara yang juga juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Wei Chong-Kai Wun yang menduduki ranking kelapan dunia mempamerkan aksi bertenaga dan konsisten untuk mencatat kemenangan 21-12, 15-21, 21-16 dalam pertembungan sengit yang berlangsung selama 50 minit.
Kejayaan itu menafikan impian Aaron-Wooi Yik untuk merekodkan gelaran kedua berturut-turut selepas menjuarai Terbuka Thailand minggu lalu.
Pilihan kelima kejohanan itu tampil bertenaga seawal set pertama apabila mendahului 6-1 sebelum memanfaatkan siri kesilapan lawan, terutama di jaring, untuk menamatkan set berkenaan 21-12.
Namun, pasangan pilihan keempat, Aaron-Wooi Yik bangkit pada set kedua dengan permainan lebih kemas dan agresif untuk mengheret aksi ke set penentuan selepas menang 21-15.

Aksi set ketiga berlangsung sengit dengan kedua-dua beregu terikat 8-8 sebelum Wei Chong-Kai Wun memperkemas permainan dan mempertahankan kelebihan untuk menang 21-16 dalam perlawanan berdurasi 50 minit.
Kemenangan itu menjadikan mereka beregu Malaysia pertama menjuarai kategori lelaki di Malaysia Masters selepas kali terakhir dicapai Goh V Shem-Lim Khim Wah pada 2013.
Lebih manis, itu adalah kemenangan ketiga mereka dalam lima pertemuan menentang Aaron-Wooi Yik serta gelaran kedua musim ini selepas memenangi Masters Indonesia, Januari lalu.
Pada edisi 2023, Wei Chong-Kai Wun sekadar muncul naib juara selepas tewas tipis kepada pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 15-21, 24-22, 19-21.
Sebagai juara, mereka membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525, manakala Aaron-Wooi Yik menerima AS$18,050 selaku naib juara. – Bernama