Thursday, February 6, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wei Chong, Kai Wun rangka strategi

    KUALA LUMPUR, 30 DIS – Beregu lelaki meningkat naik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun sedang merangka strategi terbaik untuk menjinakkan bekas beregu nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia, pada Terbuka Malaysia 2023 bermula dari 10 hingga 15 Januari depan.

    Biarpun pasangan dari negara jiran yang digelar ‘The Minions’ diletakkan sebagai pilihan kedua namun beregu muda Malaysia yang menghuni tangga ke-20 tidak mahu terlalu memikirkan tentang ranking sebaliknya fokus kepada usaha meningkatkan prestasi mereka. 

    Bagi Wei Chong, 23, beliau lebih memikirkan bagaimana untuk bermain mengikut perancangan bersama Wai Kun ketika berdepan lawan pada pusingan pertama di Axiata Arena selepas pernah tewas 21-23, 19-21 dalam Terbuka Jepun pada Ogos lepas.

    “Perlawanan ini pastinya akan sengit berdasarkan pengalaman mereka lebih tinggi sebagai bekas nombor satu dunia dan merangkul pelbagai gelaran antarabangsa. Jadi kita sedang buat persiapan macam mana nak atasi lawan yang tinggi standardnya untuk dapat kemenangan.

    “Sudah ada gambaran, tapi mereka pun mungkin akan tukar corak permainan nanti, jadi kita kena tunggu dalam kejohanan baru kita tahu strategi terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia di sini kelmarin.

    Sekitar latihan skuad badminton Malaysia di ABM, Bukit Kiara, menjelang kejohanan Terbuka Malaysia 2023 yang bakal berlangsung dari 10 hingga 15 Januari di Axiata Arena. – Bernama

    Mengulas mengenai prestasi kurang konsisten ‘The Minions’ pada tahun ini, Wei Chong berkata ia mungkin kerana pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 itu belum sampai tahap sebenar mereka selepas Marcus menjalani pembedahan di kaki pada Mac, yang menyaksikan mereka hilang penguasaan menduduki tangga teratas dunia sejak September 2017 sehingga jatuh ke tempat ke-22.

    Sementara itu, Kai Wun, 22, berkata walaupun mereka sedar mengenai peluang yang ada daripada prestasi tidak konsisten pasangan Indonesia itu, namun kemampuan ‘The Minions’ tidak harus diambil mudah.

    “Mereka mempunyai kemahiran dan smash padu yang memberikan cabaran kepada lawan, tetapi kami sudah bersedia untuk menghadapinya. Beraksi di hadapan sokongan padu peminat negara dan ahli keluarga, pasti meningkatkan semangat kami untuk capai keputusan positif,” katanya.

    Ditanya mengenai sasaran bagi musim 2023, beregu yang berjaya meraih dua gelaran Jelajah Dunia Super 300 di Terbuka Taiwan dan Syed Modi International pada 2022 itu berharap dapat mencapai kedudukan 12 terbaik dunia serta cuba mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

    “Kita mahu meraih gelaran Super 500 dan harap untuk mara sehingga suku akhir atau separuh akhir dalam semua kejohanan disertai kerana tahun ini apabila kami beraksi di kejohanan Super 1000 atau 750, kita tewas pusingan pertama dan kedua,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda