LONDON, 10 Feb – Sabtu ini Arsenal akan menerima kunjungan Hull City, yang mempamerkan peningkatan mengejut, di Stadium Emirates dengan matlamat untuk mengembalikan prestasi terbaik mereka setelah mengalami dua kekalahan yang meremukkan harapan kejuaraan Liga Perdana.
Kekalahan di laman sendiri kepada Watford dan di Stamford Bridge kepada Chelsea telah menyebabkan pasukan Arsene Wenger ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu liga, Chelsea.
Tetapi Wenger enggan mengaku kalah terhadap peluang pasukannya mengurangkan defisit itu dan menggesa para pemainnya untuk memberikan respons berikutan dua kekalahan itu.
“Ia tidak pernah berakhir,” kata pengurus Arsenal itu.
“Kami tidak boleh bersikap begitu. Meskipun anda memikirkannya begitu, tetapi saya tidak. Kami tidak boleh berfikiran begitu.
“Kita lihat pasukan-pasukan yang berada di sekitar dan kami semua berada dalam satu kumpulan yang padat, di mana cabaran dalam setiap kedudukan adalah besar seperti yang diketahui dalam Liga Perdana, mungkin cabaran kali ini lebih hebat berbanding musim sebelumnya.”
Wenger memasuki perlawanan Sabtu ini dengan tekanan yang berat di bahunya, dengan para penyokong mula menunjukkan rasa tidak puas hati di Chelsea termasuk sehelai kain rentang yang menyatakan ‘Cukup Sudah Cukup’.
Kontraknya akan berakhir hujung musim ini dan sekali lagi enggan bercerita panjang mengenai apa yang akan terjadi jika perjanjiannya mansuh.
“Masa depan saya bukan perkara yang paling penting,” dia memberitahu para wartawan di sidang media mingguan.
“Apa yang penting bagi saya adalah Kelab Bola Sepak Arsenal berada dalam keadaan yang baik dan saya dedikasikan kesemua tenaga saya agar kelab ini membuat peningkatan.
“Arsenal diperbuat daripada kekuatan yang istimewa dan kekuatan itu perlu bersatu setiap kali perkara yang tidak diingini berlaku.” – AFP