LONDON, 1 Mac – Arsene Wenger menyatakan beliau ‘kagum’ dengan spekulasi terbaharu mengenai masa depannya ketika beliau menyediakan pasukan berdepan Manchester City hanya beberapa hari selepas kekalahan memilukan Arsenal pada final Piala Liga Inggeris di tangan anak buah Pep Guardiola.
Pengendali dari Perancis itu menerima kecaman hebat sejak persembahan teruk ketika dibenam 3-0 di Wembley Ahad lalu namun kini perlu menyemarakkan semula pasukannya untuk berdepan pendahulu Liga Perdana Inggeris awal pagi Jumaat ini. Kempen Arsenal juga makin terancam – mereka ketinggalan 10 mata di belakang pasukan tangga keempat Tottenham Hotspur dalam carta Liga Perdana dan kelihatan terlepas aksi bola sepak Liga Juara-Juara buat musim kedua berturut-turut.
Mereka tersingkir daripada Piala FA dan akan berdepan kelab gergasi Itali, AC Milan pada pusingan 16 terakhir Liga Europa, satu-satunya peluang mereka untuk memenangi trofi musim ini. Persembahan layu Arsenal mengundang kritikan daripada bekas pertahanan Manchester United dan England, Gary Neville selain bekas bintang Gunners, Ian Wright dan Thierry Henry.
Namun Wenger, bercakap pada sidang akhbar praperlawanan, membalas dengan terkejut apabila ditanya jika keputusan itu bermakna tempoh kendaliannya kini makin terancam.
“Saya hanya kagum bahawa saya sering kali menjawab perkara yang jelas sama,” kata pengendali berusia 68 tahun itu.

“Saya berada di sini selama 21 tahun, saya harap seluruh dunia menghormati kontrak saya. Jadi saya masih kagum kerana terpaksa menjawab soalan sebegini.
“Jawatan saya adalah jawatan saya. Secara jujur, ia perkara terakhir yang saya perlu bimbangkan ketika ini. Tumpuan saya adalah untuk fokus, menyediakan pasukan bagi perlawanan esok.”
Pengurus dari Perancis itu mempertahankan persembahan pemainnya di Wembley, yang mana sesetengah melabel mereka sebagai ‘lembik’ dan ‘memalukan’ oleh pengulas perlawanan Neville ketika mereka dilihat hanya berjalan apabila kehilangan bola.
“Saya percaya kami perlu membiarkan kritikan itu dan membalas bersama seperti yang sering kali kami lakukan.
“Kami tidak bermain menentang pasukan teruk pada separuh akhir, kami bermain menentang Chelsea dan kami membuktikan kami boleh berjuang. Anda perlu menerima hakikat Man City pasukan berkualiti.” – AFP