LONDON, 17 JAN – Graham Potter mengakui West Ham berdepan jendela perpindahan yang ‘rumit’ selepas pengurus Fulham, Marco Silva, menutup perbincangan mengenai Rodrigo Muniz untuk berpindah ke Stadium London.
Potter yang baharu seminggu berkhidmat di Stadium London akan tetapi telah pun terlibat dalam usaha kelab itu untuk mendapatkan pemain baharu.
The Hammers telah mengalami kesukaran bagi memilih jentera serangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini dengan kehilangan Niclas Fullkrug, Jarrod Bowen dan Michail Antonio akibat kecederaan jangka panjang.
Bekas Pengurus Chelsea, Potter, percaya dia akan disokong oleh Lembaga Pengarah West Ham jika mereka dapat mencari sasaran yang tepat, namun dia mengakui cita-cita itu tidak mudah untuk dipenuhi.
“Setiap kelab adalah sama, kami sentiasa berusaha untuk menambah baik, sama ada secara luaran atau dalaman,” katanya kepada pemberita menjelang pertembungan esok dengan Crystal Palace.
“Saya tidak mengatakan kami tidak mencari pemain baharu, atau disebabkan masalah yang timbul sehingga kami tidak dapat melakukannya sedangkan kami mampu dan ada sokongan untuk itu.
“Tetapi ia mesti menjadi perkara yang betul untuk kami juga. Ia adalah jendela perpindahan yang rumit jadi kami boleh bayangkan dalam seminggu di mana kami mempunyai tiga perlawanan dalam lapan hari, tumpuan saya adalah kepada pemain yang berada di sini,” katanya.
Pengurus Cottagers, Silva, berkata Muniz bukan untuk dijual, selepas hanya 24 jam Fulham dikalahkan 3-2 di West Ham dalam kemenangan pertama Potter sejak menggantikan Julen Lopetegui yang dipecat. – AFP