LIVERPOOL, 30 SEPT – Nuno Espirito Santo memulakan era baharunya bersama West Ham dengan keputusan seri 1-1 menentang Everton hasil jaringan penyamaan pada separuh masa kedua oleh Jarrod Bowen, kelmarin.
Nuno mengambil alih tugasan pertamanya sebagai pengendali Hammers hanya 48 jam selepas dilantik menggantikan Graham Potter yang dipecat.
Bekas pengurus Nottingham Forest itu menyaksikan Michael Keane memimpin Everton di hadapan pada separuh masa pertama di Stadium Hill Dickinson. Namun, penyerang England, Bowen memastikan Nuno tidak mengalami kekalahan pada aksi sulungnya apabila menjaringkan gol selepas rehat. Ia merupakan kali kedua dalam tujuh perlawanan musim ini di mana West Ham berjaya terlepas daripada kekalahan.
Kelab dari timur London itu kekal di tangga kedua tercorot Liga Perdana Inggeris dengan empat mata daripada enam perlawanan pertama.
“Kami lakukan banyak perkara yang baik. Kami bersaing dengan baik tetapi masih banyak kerja yang perlu dilakukan.

Kami memulakan separuh masa kedua dengan lebih bertenaga, semangat itu memang ada,” kata Nuno.
“Kami perlu membina daripada momentum itu. Sekarang ia tentang mengekalkan kesederhanaan dan cuba memberikan identiti yang baik kepada para pemain. Kami akan sampai ke tahap itu.”
Dengan pengalaman berharga dalam memastikan kelab terselamat daripada penyingkiran selepas berjaya mengekalkan Forest dan Wolves di saingan utama, Nuno kini ditugaskan membawa West Ham keluar daripada zon bahaya.
Pengendali berusia 51 tahun itu boleh berasa yakin dengan aksi bersemangat anak buahnya meskipun hanya sempat mengendalikan dua sesi latihan sejak mengambil alih pasukan.
“Ia baru tiga hari, kami dalam proses untuk saling mengenali.
Tetapi ia sesuatu yang baik untuk kembali. Inilah yang kami perjuangkan, iaitu untuk bersaing,” tambahnya.
Potter dipecat pada Sabtu lalu selepas hanya lapan bulan memimpin, dengan kelab merosot di tangga ke-19 susulan kekalahan 2-1 kepada Crystal Palace dalam perlawanan terakhirnya.
Nuno sendiri sebelum ini dipecat awal musim ini selepas berselisih dengan pemilik Forest, Evangelos Marinakis, berhubung dasar perpindahan kelab.
Dia sebelum itu berjaya membawa Forest kembali ke saingan Eropah buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun selepas menamatkan musim lalu di tempat ketujuh. – AFP

