West Ham Musnah Peluang Keemasan Tottenham

LONDON, 19 OKT – West Ham mempamerkan persembahan yang cemerlang dengan kebangkitan yang menakjubkan selepas ketinggalan tiga gol namun berjaya menyamakan kedudukan 3-3 semalam.

Tottenham mendahului perlawanan 3-0, setelah Bale masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-72 untuk penampilan pertamanya sejak menyertai Tottenham dengan pinjaman dari Real Madrid. Bale bagaimanapun perlu melupakan kemunculan kembali yang teruk pernah dialaminya ketika Tottenham mensia-siakan peluang yang besar.

Bintang Wales itu adalah salah satu penyebab utama Tottenham gagal menemukan kemenangan ketika dia melepaskan peluang keemasan untuk meraih mata penuh sebelum Manuel Lanzini dari West Ham menjaringkan gol penyamaan. Tottenham mendahului perlawanan dengan hanya 45 saat ketika Son Heung-min dan Harry Kane bergabung untuk mencipta gol untuk kali ketujuh musim ini.

Kane bermain di posisi tengah melepaskan hantaran lintang kepada Son, yang melakukan rembatan melengkung ke sudut gawang.

Kane menjaringkan gol pada awal minit kelapan ketika dia melepasi Declan Rice dan melakukan tendangan ke sudut bawah gawang.

Permulaan Tottenham yang hebat menemukan gol ketiga pada minit ke-16 oleh Kane dan merupakan jaringan gol ke-10nya musim ini.

Setelah menewaskan Manchester United 6-1 dalam perlawanan terakhir mereka, pasukan Jose Mourinho kelihatan cukup hebat.

Tetapi West Ham kembali dominan setelah Bale diturunkan menggantikan Steven Bergwijn.

Fabian Balbuena menjaringkan gol pada minit ke-82 dan jaringan sendiri Davinson Sanchez tiga minit kemudian. Manakala, Lanzini membuat kejutan melakukan rembatan dari jarak jauh untuk jaringan penyamaan pada minit-minit akhir perlawanan. – AFP

Reaksi Gareth Bale yang kelihatan kecewa setelah West Ham menjaringkan gol ketiga mereka semasa perlawanan antara Tottenham dan West Ham United di Stadium Tottenham Hotspur di London, semalam. – AP