LOS ANGELES, 1 Nov – Giannis Antetokounmpo mengetuai semua pemain dengan 28 mata tetapi pemain NBA MVP, Russell Westbrook mendapatkan hak mutlak ketika Oklahoma City Thunder menewaskan Milwaukee Bucks 110-91 malam semalam.
Westbrook dari AS hanya kurang sedikit untuk meraih ‘triple-double’ keempatnya musim ini, menjaringkan 12 mata, menghasilkan 10 ‘rebound’ dan mengutip sembilan asis bagi Thunder di depan 18,700 penonton di Bradley Center arena.
Perlawanan itu digambarkan sebagai persaingan di antara MVP liga, Westbrook dan pesaing awal musim bagi gelaran itu, bintang Bucks, Antetokounmpo.
Tetapi tidak seperti Antetokounmpo dari Greece, Westbrook mendapatkan banyak bantuan daripada rakan sepasukannya, menyaksikan Paul George menjaringkan 20 mata tertinggi pasukan itu dan Carmelo Anthony menghasilkan 17.
Jeremi Grant juga menamatkan dengan 17 mata bagi Thunder, yang menjaringkan 49 peratus dan memperbaiki kedudukan 4-3 musim ini.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/Page-23-nba_021117.jpg)
“Saya rasa kami menyerang dengan hebat pada separuh masa pertama,” kata jurulatih Oklahoma City, Billy Donovan. “Kami menggerakkan bola dengan baik dan kami menghasilkan kualiti lontaran terbaik.”
Antetokounmpo memberikan pendahuluan kepada Bucks tetapi gagal untuk mencapai 30 mata bagi kali kedua musim ini.
Antetokounmpo, yang membesar di Athens dan memiliki asal-usul Nigeria, menjaringkan sembilan dari 14 percubaan, termasuk dua ‘three-pointer’.
Tetapi Milwaukee hanya menjaringkan 42.1 peratus pada keseluruhannya ketika mereka tewas dalam perlawanan kedua dari tiga perlawanan terakhir.
“Mereka beraksi dengan lebih baik dari kami,” kata Antetokounmpo.
“Mereka memiliki kelebihan fizikal berbanding kami. Kami perlu melakukan tugasan yang lebih baik dengan keadaan bersedia, terutamanya menentang pasukan seperti OKC.” – AFP