Kali terakhir membuat persembahan empat tahun lalu di Kuala Lumpur, kumpulan Westlife kembali menghiburkan peminat di Malaysia menerusi konsert The World Dreams Tour yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil baru-baru ini.
Seramai 8,000 penonton membanjiri Axiata Arena pada malam pertama konsert berkenaan yang teruja menyaksikan persembahan kumpulan popular daripada Ireland tersebut.
Tampil menyampaikan 15 buah lagu popular mereka, Westlife membuka tirai persembahan dengan lagu Starlight yang mendapat tepukan gemuruh peminat.
Kemunculan mereka di Malaysia bukan sahaja mengundang rasa teruja dalam kalangan peminat, malah Westlife sendiri gembira apabila sekali lagi dapat menghiburkan peminat di Kuala Lumpur yang disifatkan sentiasa dekat di hati mereka.
“Kami tak sangka selepas empat tahun, kami dapat beraksi semula dan bertemu peminat di Malaysia,” kata Shane mewakili anggota Westlife yang lain.
Selain Shane, Westlife turut dianggotai oleh Mark Feehily, Kian Egan, and Nicky Byrne.
Konsert yang berlangsung hampir dua jam itu turut mengimbau kenangan zaman persekolahan apabila Westlife turut mendendangkan lagu wajib mereka termasuk If I Let You Go, Flying Without Wings, Swear It Again, My Love, Fool Again dan Seasons in the Sun.
Ketika pertengahan konsert, Nick turut meminta peminat di dalam stadium untuk menyalakan lampu kamera bagi memberi kesan seperti bintang di langit.
Tidak hanya menyanyikan lagu evergreen mereka, Westlife turut mempersembahkan lagu medley kumpulan ABBA termasuk Dancing Queen, Thank You For The Music dan Mama Mia. – Agensi