Weston McKennie mahukan keadilan untuk George Floyd

BERLIN, 31 MEI – Pemain tengah Schalke, Weston McKennie semalam memakai baju di mana di lengannya tertulis ‘Justice for George’ sebagai sebahagian daripada tunjuk perasaan yang semakin meningkat terhadap kematian seorang lelaki kulit hitam yang tidak bersenjata semasa penangkapan polis di Minneapolis di Amerika Syarikat (AS).

“Berupaya menggunakan platform saya untuk menarik perhatian kepada masalah yang telah lama terjadi ini rasanya adalah baik!!!,” kata McKennie, 21 tahun, di laman Twitter setelah tewas 1-0 kepada Werder Bremen.

“Kita harus memperjuangkan apa yang kita percaya dan saya percaya bahawa sudah tiba waktunya kita didengar! #Justiceforgeorgefloyd #saynotoracism.”

George Floyd mati di Minneapolis dalam penangkapan oleh seorang polis yang merebahkannya ke tanah selama beberapa minit dengan berlutut di lehernya.

Derek Chauvin didakwa pada hari Jumaat dengan satu tuduhan pembunuhan tahap ketiga secara tidak sengaja menyebabkan kematian dan satu tuduhan pembunuhan yang cuai.

Rakan sepasukan McKennie dari AS, Jozy Altidore, yang bermain untuk FC Toronto, memberi penghormatan kepada pemain Schalke itu.

“Salute lil bro,” kata Altidore dalam laman Twitternya.

McKennie adalah bintang sukan Amerika terbaharu mengeluarkan suara dalam tunjuk perasaan setelah pemain tenis AS Coco Gauff pada hari Jumaat menyiarkan “Adakah saya seterusnya?” pada video TikTok di laman Twitternya. – AFP