Monday, February 24, 2025
21.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    WFE papar teknologi terkini

    WUHAN, China, 7 Nov – Mendongak ke langit Wuhan, ibukota bagi Wilayah Hubei di tengah China, kita tidak akan hanya melihat awan putih, tetapi juga pertunjukan udara oleh juruterbang dari Latvia, Amerika Syarikat, Sepanyol dan negara-negara lain. Satu pesta pertunjukan udara kini diadakan untuk peminat penerbangan dari seluruh dunia.

    Ekspo Penerbangan Dunia (WFE) berlangsung pada Sabtu di Lapangan Terbang Umum Wuhan Selatan, dengan menarik lebih 1,000 peserta dari kira-kira 37 buah negara dan wilayah. Acara itu akan menampilkan 788 buah pesawat, lapan pertunjukan besar, lima pertandingan utama dan dua aktiviti mencatatkan rekod selain festival muzik, yang menawarkan satu pertunjukan udara antarabangsa sekali dalam seumur hidup buat 600,000 orang penonton.

    WFE adalah sebuah projek utama bagi pelan Lima Tahun ke-13 bagi Persekutuan Sukan Aero China (ASFC). Dianjurkan oleh Persekutuan Sukan Udara Dunia (WASF), ASFC, kerajaan Wuhan dan Biro Sukan Hubei, acara itu akan diadakan setiap dua tahun di Wuhan. Acara itu memaparkan teknologi terkini di peringkat sukan aero dunia dan juga mempamerkan kehebatan China di dalam bidang ini, menjadikannya sesuatu yang wajib dilihat bagi industri itu.

    Acara empat hari itu menampilkan persembahan penerbangan aero, pertandingan sukan penerbangan, aktiviti mencatatkan rekod, pengalaman interaksi awam, pameran statik dan forum.

    Ini adalah lawatan pertama saya ke tempat ini dan saya amat kagum dengan kemodenan dan kesegaran Wuhan, dan saya mendoakan agar acara yang menarik ini mencapai kejayaan yang besar, kata presiden WASF Frits Brink.

    Hampir 200 buah pesawat dipamerkan di dalam kawasan pameran dalaman seluas 20,000 meter persegi dan pavilion luaran seluas 60,000 meter persegi, iaitu bersamaan dengan kira-kira 10 peratus daripada jumlah pesawat pengemudian China, yang menetapkan satu rekod untuk pameran statik bagi pertunjukan udara domestik. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda