Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    WFP menangi hadiah Keamanan Nobel

    OSLO, 9 OKT – Hadiah Keamanan Nobel hari ini dianugerahkan kepada Program Makanan Sedunia (WFP) kerana memberi makan kepada jutaan penduduk dari Yaman ke Korea Utara, dengan pandemik koronavirus dilihat menyebabkan jutaan lagi mengalami kelaparan.

    WFP diiktiraf atas ‘usahanya dalam membasmi kelaparan, atas sumbangannya untuk mempertingkat keadaan demi keamanan di kawasan yang terjejas oleh konflik dan bertindak sebagai penggerak dalam usaha untuk menghalang penggunaan kelaparan sebagai senjata peperangan dan konflik,” kata pengerusi jawatankuasa Nobel Berit Reiss-Anderson semasa mengumumkan pemenang di Oslo.

    Sama ada menghantar makanan dengan helikopter atau di belakang gajah atau unta, WFP berasa bangga kerana menjadi ‘pertubuhan kemanusiaan utama’ di dunia di mana, berdasarkan anggarannya sendiri, kira-kira 690 juta orang – satu dalam 11 – tidur tanpa makanan.

    “Dengan anugerah tahun ini, Jawatankuasa Nobel Norway ingin mengalih tumpuan dunia kepada jutaan orang yang menderita atau berdepan ancaman kelaparan,” kata Reiss-Andersen.

    Ditubuhkan pada 1961, pertubuhan PBB itu membantu 97 juta orang pada tahun lalu, mengagih 15 bilion catuan kepada penduduk di 88 negara tahun lalu.

    Meskipun mencatat kemajuan sejak tiga dekad lalu, matlamat PBB untuk membasmi kelaparan menjelang tahun 2030 nampaknya mustahil dicapai sekiranya trend sekarang berterusan, menurut pakar.

    Peperangan boleh berpunca dari kelaparan, tetapi kelaparan juga akibat peperangan, dengan penduduk tinggal di kawasan konflik tiga kali lebih terdedah kepada kurang pemakanan berbanding mereka yang tinggal di negara aman, kata WFP.

    “Kami tidak dapat menamatkan kelaparan melainkan kami menamatkan konflik,” kata pengarah eksekutif WFP David Beasley pada 21 September. – AFP

    Penolong Pengarah Eksekutif Amir Mahmoud Abdulla semasa beliau bercakap kepada wakil media di luar ibu pejabat Program Makanan Sedunia (WFP) di Rom kelmarin selepas pengumuman pertubuhan itu telah dianugerahi Hadiah Keamanan Nobel. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda