WhatsApp ‘tidak selamat’

MOSCOW, 16 Mei – Pengasas aplikasi pesanan popular Telegram dari Rusia telah mengingatkan bahawa WhatsApp, aplikasi pesanan terkenal di dunia, akan terus terdedah kepada pengintipan selepas platform milik Facebook terpaksa memberitahu pengguna bahawa telefon mereka mungkin diserang virus perisian pengintipan.

Pavel Durov, pengatur cara penyeleweng yang mencipta Telegram untuk menawarkan komunikasi kod terjamin lewat semalam menyiar satu blog bertajuk “Kenapa WhatsApp tidak selamat.”

Telegram telah menerima kecaman daripada pihak berkuasa di Rusia berhubung pengekodan mereka dan ia telah disekat secara rasmi di negara itu.

“WhatsApp mempunyai sejarah yang konsisten, daripada pengekodan sifar sejak ditubuhkan kepada beberapa siri isu keselamatan yang sesuai untuk tujuan pengintipan,” tulis Durov.

WhatsApp pada Selasa memberitahu lebih daripada 1.5 bilion pengguna di seluruh dunia supaya mempertingkat aplikasi untuk menutup kelemahan keselamatan.

Kelemahan tersebut membenarkan kemasukan perisian jahat yang canggih yang mungkin digunakan untuk mengintip wartawan, aktivis dan lain-lain.

“Setiap kali WhatsApp perlu mengatasi satu kelemahan kritikal dalam aplikasi mereka, masalah baharu nampaknya muncul mengganti kelemahan lama,” kata Durov. – AFP