WASHINGTON, 26 DIS – Kathy Whitworth, pemain golf LPGA paling berjaya dengan rekod 88 gelaran juara, meninggal dunia pada usia 83 tahun, umum siri jelajah wanita baru-baru ini.
Whitworth mempunyai enam rekod kemenangan lebih banyak berbanding Sam Snead dan Tiger Woods, yang memegang rekod karier paling banyak dalam kategori lelaki.
“Dengan hati yang berat, kami ingin berkongsi berita bahawa tokoh di Dinding Kemasyhuran LPGA, Kathy Whitworth telah meninggal dunia pada umur 83 tahun,” kata jelajah dalam akaun rasmi Twitter.
Satu kenyataan dalam laman web LPGA oleh pasangan Whitworth, Bettye Odle berkata, “Kathy meninggal dunia secara mengejut pada Sabtu malam semasa menyambut malam Hari Natal bersama keluarga dan rakan-rakan.”
Di samping 88 kemenangan yang dia kecapi – termasuk enam kejohanan utama – Whitworth juga mendapat tempat kedua sebanyak 93 kali dalam kerjayanya yang bermula pada tahun 1959.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/12/P23-1a-Whitworth_27122022.jpg)
“Saya betul-betul bertuah kerana saya tahu apa yang saya mahu lakukan dalam hidup ini,” kata Whitworth suatu masa dulu.
“Golf telah menguasai diri saya. Saya tidak dapat menggambarkan betapa saya cintakannya. Saya pernah berpendapat bahawa semua orang tahu apa yang mereka mahu lakukan apabila mereka berusia 15 tahun.”
Pesaing terhebat beliau, Mickey Wright, menamatkan kerjaya beliau dengan 82 gelaran juara. Bagaimanapun, 13 daripadanya dimenangi dalam kejohanan utama.
“Mickey merupakan pemain golf yang hebat, tetapi Kathy merupakan pemenang golf paling hebat,” kata pengasas bersama LPGA, Louise Suggs.
Pesuruhjaya LPGA, Mollie Marcoux Samaan menggelar Whitworth sebagai ‘salah seorang wanita paling hebat di dunia’.
“Kathy merupakan juara di dalam padang golf, mahupun di luar,” katanya dalam satu kenyataan.
Whitworth menang sekurang-kurangnya sekali setahun dengan rekod sebanyak 17 tahun berturut-turut, menjadi pemain paling hebat berbanding pelbagai generasi bintang pemain golf wanita.
Gelaran juara LPGA yang pertama dimenangi oleh beliau adalah pada tahun 1962 dalam Terbuka Kelly Girls dan kemenangan terakhir pernah beliau menangi adalah pada tahun 1985 dalam Klasik Bank United Virginia. – AFP