GENEVA, 26 JAN – Satu serangan ke atas hospital utama di El-Fasher, sebuah bandar yang terkepung di barat Sudan, telah mengorbankan 70 orang dan mencederakan 19 yang lain, kata Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.
“Serangan yang mengerikan ke atas Hospital Saudi di El-Fasher mengakibatkan 19 orang cedera dan 70 kematian di kalangan pesakit dan pengiring,” kata Pengarah Jeneral WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kiriman di X.
“Ketika serangan itu, hospital tersebut dipenuhi pesakit yang menerima rawatan,” tambahnya.
Dalam satu kenyataan yang jarang dikeluarkan mengenai sasaran penjagan kesihatan di Sudan, Arab Saudi juga mengecam serangan tersebut hari ini sebagai ‘pelanggaran undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa’.
Arab Saudi menyeru agar ada ‘perlindungan untuk pekerja perubatan dan kemanusiaan’, serta menggesa ‘pembatasan diri’ dan mengelakkan ‘sasaran kepada orang awam’.
Sejak April 2023, Sudan telah dilanda perang antara ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan dan bekas timbalannya Mohamed Hamdan Daglo, pemimpin Pasukan Sokongan Pantas (RSF).
Di Darfur, RSF telah mengepung El-Fasher sejak Mei, walaupun tentera berjaya menggagalkan percubaan berulang untuk merampas bandar tersebut. AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas pihak yang melancarkan serangan tersebut dalam konflik Sudan itu. Konflik di Sudan telah mencetuskan bencana kemanusiaan berskala besar.
Puluhan ribu telah terkorban dan lebih daripada 12 juta terpaksa berpindah.
Kelaparan melanda sebahagian negara itu, memaksa sesetengah keluarga untuk bertahan hidup dengan memakan rumput dan makanan haiwan, terutamanya di barat dan selatan negara itu. – AFP