Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO: asal-usul COVID-19 perlu kajian lanjut

    GENEVA, 29 MAC – Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata hari ini semua hipotesis mengenai asal-usul pandemik COVID-19 masih terbuka dan memerlukan kajian lanjut, berdasarkan laporan pakar antarabangsa mengenai misi mereka ke Wuhan.

    Ketua pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata agensi kesihatan PBB telah menerima laporan pada hujung minggu, menambah kesemua teori mengenai bagaimana virus memasuki manusia masih bersifat terbuka.

    “Semua hipotesis bersifat terbuka, berdasarkan apa yang saya baca daripada laporan,” beritahu Tedros pada sidang media maya di Geneva, menambah mereka ‘memerlukan kajian lanjut.’

    Sekumpulan pakar antarabangsa mengunjungi Wuhan di China pada Januari dan Februari tahun ini, memeriksa dan memberikan penilaian dalam laporan mereka empat kaedah di mana virus SARS-CoV-2 mengakibatkan penyakit COVID-19, mungkin memasuki manusia sebelum menular di seluruh dunia.

    AFP memperoleh satu salinan laporan akhir sebelum penerbitannya esok.

    “WHO telah menerima laporan penuh misi pada hujung minggu mengenai asal-usul virus SARS-CoV-2 daripada kumpulan yang melawat Wuhan pada awal tahun ini,” Tedros mengesahkan.

    Beliau berkata satu taklimat misi akan diadakan di antara pakar antarabangsa dan 194 negara anggota WHO esok, di mana laporan akan diterbitkan selepas itu di laman web pertubuhan.

    “Kami akan membaca laporan dan membincang isi kandungan serta langkah seterusnya dengan negara anggota,” kata Tedros. – AFP

    Gambar fail menunjukkan Peter Ben Embarek dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia memegang carta yang menunjukkan jalan penularan virus semasa sidang media pada akhir misi WHO di Wuhan, di tengah wilayah Hubei, China. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda