Monday, December 23, 2024
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO bantu lima negara mulakan kempen imunisasi

    GENEVA, 30 JUN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi sokongan untuk membantu baki lima negara yang masih belum memulakan kempen imunisasi, ketika suntikan vaksin COVID-19 mencecah tiga bilion dos pada peringkat global, setakat semalam.

    Dalam kalangan 194 negara anggota WHO, hanya Burundi, Eritrea, Haiti, Korea Utara dan Tanzania belum melaksanakan program imunisasi bagi memerangi wabak itu.

    “WHO terus memberi sokongan kepada negara berkenaan dalam membuat keputusan berhubung pengenalan vaksin COVID-19,” kata seorang jurucakap kepada AFP.

    Sebelum ini, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus mahu setiap negara memulakan vaksinasi petugas kesihatan dan golongan rentan dalam tempoh 100 hari pertama tahun ini. Bagaimanapun, negara kaya dilaporkan membolot bekalan vaksin sehingga menyebabkan sesetengah negara lain terpaksa menunggu untuk dos pertama mereka.

    “Kita sedang berdepan pandemik dua laluan yang didorong oleh ketidaksaksamaan,” kata Tedros semalam.

    Kemudahan COVAX dengan sasaran memastikan negara miskin mendapat bekalan vaksin, sudah mengedarkan 89 juta dos suntikan itu kepada 133 wilayah peserta sehingga kini. Namun, WHO yang berperanan sebagai pengendali bersama skim itu memaklumkan, kesemua vaksin berkenaan telah kehabisan bekalan, bulan ini.

    “Dunia sedang berdepan kegagalan,” kata Tedros yang memberi amaran berhubung keadaan membimbangkan itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda