ISTANBUL, 27 DIS – Kira-kira 50 tan bekalan perubatan yang dibiayai oleh Kesatuan Eropah (EU) dan diterbangkan dari Dubai ke Turkiye dijangka tiba di Syria pada 31 Disember, beritahu seorang pegawai kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kepada AFP, hari ini.
Bekalan tersebut, yang dihantar dari simpanan EU di Dubai, tiba di Istanbul kelmarin dan kini sedang dalam proses kastam sebelum dihantar ke sempadan Syria dalam beberapa hari akan datang.
“Bekalan masih berada di Istanbul dan sedang melalui proses kastam,” kata Mrinalini Santhanam dari pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Gaziantep, Selatan Turkiye.
Tujuan penghantaran itu adalah untuk menyokong sistem penjagaan kesihatan Syria yang sudah sedia terbeban akibat bertahun-tahun perang di bawah pimpinan Bashar al-Assad yang digulingkan oleh pemberontak pada 8 Disember lalu.
Penghantaran itu termasuk 8,000 kit pembedahan kecemasan, bekalan anestetik, cecair IV, bahan pensterilan dan ubat-ubatan untuk mencegah wabak penyakit, dan EU menyatakan bahawa ia akan dihantar untuk menyokong ‘sistem penjagaan kesihatan di Idlib dan utara Aleppo.’
“Bekalan ini terutamanya adalah kit trauma dan pembedahan yang akan membolehkan doktor di Syria untuk melakukan ribuan pembedahan dan merawat pesakit yang cedera,” kata Lorenzo Dal Monte, penganalisis perancangan WHO, ketika penghantaran itu tiba di lapangan terbang Istanbul awal Khamis lalu.
Perang saudara yang bermula pada 2011 telah “memusnahkan negara dan sistem penjagaan kesihatannya. Hampir separuh dari hospital di Syria tidak berfungsi,” katanya.
Ia adalah bahagian pertama daripada siri bantuan kemanusiaan EU yang diumumkan oleh Brussels pada 13 Disember, dengan penghantaran kedua seberat 46 tan dari Denmark dijangka tiba selepas ini. – AFP