GENEVA, 19 MAC – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa pemotongan dana untuk projek kesihatan global oleh beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat (AS) boleh memberi kesan serius terhadap program vaksinasi kanak-kanak dan orang dewasa terhadap penyakit berbahaya, lapor agensi berita Qatar (QNA).
WHO dalam satu kenyataan menjelaskan perubahan mendadak dalam bajet penderma dan kapasiti kesihatan global telah member tekanan besar kepada program imunisasi, terutama usaha pencegahan campak.
WHO menegaskan keperluan bagi setiap kanak-kanak menerima dua dos vaksin campak, memandangkan penyakit itu masih menjadi punca utama kematian dalam kalangan kanak-kanak di seluruh dunia.
Dalam konteks itu, Pengarah Jabatan Imunisasi WHO, Kate O’Brien berkata bahawa penurunan kadar vaksinasi berpunca daripada ketakutan yang disebarkan oleh golongan yang menyebarkan maklumat salah mengenai vaksin campak. Keadaan itu menyebabkan kes campak kembali muncul di beberapa negara walaupun penyakit itu berjaya dihapuskan sepenuhnya sebelum ini.
Vaksinasi adalah kaedah pencegahan terbaik memandangkan tiada rawatan khusus selepas jangkitan berlaku.
Selepas majlis angkat sumpahnya pada Januari lalu, Presiden AS, Donald Trump telah menandatangani beberapa perintah eksekutif, termasuk menarik diri daripada keanggotaan WHO. AS merupakan penyumbang kewangan terbesar kepada badan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu, dengan sumbangan kira-kira 18 peratus daripada jumlah keseluruhan dana WHO. – Bernama
