GENEVA, 23 JULAI – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran wabak virus chikungunya berisiko tinggi melanda seluruh dunia dan meminta tindakan segera untuk mencegahnya.
Agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu berkata terdapat tanda amaran awal yang mirip dengan penularan wabak itu dua dekad lalu dan mahu mencegahnya daripada berulang.
Chikungunya adalah penyakit virus bawaan nyamuk yang menyebabkan demam dan sakit sendi. Dalam sesetengah kes ia boleh membawa maut.
“Chikungunya bukanlah penyakit yang diketahui secara meluas, tetapi ia telah dikesan dan disebarkan di 119 negara di seluruh dunia, menjadikan 5.6 bilion orang berisiko,” kata Diana Rojas Alvarez dari WHO.
Beliau mengimbas kembali 2004 hingga 2005, apabila wabak chikungunya melanda Lautan Hindi, di wilayah pulau kecil sebelum merebak ke seluruh dunia dan menjejaskan hampir setengah juta orang.

“Hari ini, WHO melihat corak yang sama muncul, sejak awal 2025 di pulau Reunion, Mayotte dan Mauritius semuanya telah melaporkan kes Chikungunya yang tinggi.
“Satu pertiga daripada penduduk Reunion dianggarkan telah dijangkiti,” katanya pada taklimat akhbar di Geneva.
Menurut WHO, chikungunya mempunyai gejala serupa dengan demam denggi dan penyakit virus Zika, menjadikannya sukar untuk didiagnosis.
Beliau menyatakan bahawa kadar kematian kes adalah kurang daripada satu peratus, tetapi apabila kes mencecah angka berjuta, satu peratus boleh menjadi ribuan kematian.
Terbaharu, spesis yang dikenali sebagai nyamuk harimau, menjelajah lebih jauh ke utara ketika dunia semakin panas kerana perubahan iklim akibat perbuatan manusia.
Ia aktif terutama pada waktu siang, dengan aktiviti puncak selalunya pada awal pagi dan lewat petang.
WHO menggesa orang ramai melindungi diri mereka melalui langkah-langkah seperti menggunakan ubat nyamuk dan tidak membiarkan air bertakung di dalam bekas seperti baldi, tempat nyamuk boleh membiak. – AFP