Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO beri amaran ubat batuk sirap

    NEW DELHI, 12 JAN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan amaran waspada terhadap penggunaan dua jenis ubat batuk dari India yang dipersalahkan atas kematian sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak di Uzbekistan.

    WHO berkata produk itu, yang dikeluarkan oleh Marion Biotech India, adalah ‘substandard’ dan firma itu gagal memberikan jaminan tentang keselamatan dan kualiti ubat itu.

    Amaran yang dikeluarkan kelmarin, dibuat selepas pihak berkuasa Uzbekistan berkata bulan lalu, sekurang-kurangnya 20 orang kanak-kanak maut selepas mengambil sirap yang dibuat oleh syarikat itu di bawah jenama Doc-1 Max.

    Kementerian Kesihatan India kemudiannya menggantung pengeluaran syarikat itu dan Uzbekistan mengharamkan import dan penjualan Doc-1 Max.

    Dalam amarannya, WHO berkata, analisis sampel sirap oleh makmal kawalan kualiti Uzbekistan mendapati jumlah ‘dietilena glikol’ dan/atau ‘etilena glikol’ yang melebihi tahap yang selamat sebagai bahan tercemar.

    Dietilena glikol dan etilena adalah toksik kepada manusia apabila dimakan dan boleh membawa maut.

    “Kedua-dua produk ini mungkin mempunyai kebenaran pemasaran di negara lain di rantau ini. Ia juga mungkin telah diedarkan, melalui pasaran tidak formal, ke negara atau wilayah lain,” kata WHO.

    Produk itu tidak selamat dan penggunaannya, terutamanya pada kanak-kanak, boleh mengakibatkan kecederaan serius atau kematian, katanya.

    Pegawai Marion Biotech tidak dapat dihubungi segera untuk mendapatkan komen.

    Ia adalah pengeluar ubat India kedua yang berdepan siasatan oleh pengawal selia sejak Oktober, apabila WHO mengaitkan ubat-ubatan firma lain dengan siri kematian kanak-kanak di Gambia.

    Maiden Pharmaceuticals dituduh mengeluarkan beberapa jenis ubat batuk dan selesema bertoksik yang menyebabkan kematian kira-kira 66 orang kanak-kanak di negara Afrika itu.
    Mangsa, kebanyakannya berumur antara lima bulan dan empat tahun, meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang.

    India melancarkan siasatan terhadap Maiden Pharmaceuticals tetapi kemudian berkata siasatan mendapati dadah yang disyaki adalah ‘kualiti standard’. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda