Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO bimbang risiko penyakit berjangkit meningkat di Gaza

    GENEVA, 31 DIS – Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata pada Jumaat lalu beliau ‘sangat bimbang’ tentang risiko penyakit berjangkit yang semakin meningkat di Semenanjung Gaza.

    “Memandangkan orang ramai terus dipindahkan secara besar-besaran di seluruh selatan Gaza, dengan beberapa keluarga terpaksa berpindah beberapa kali dan ramai yang berlindung di kemudahan kesihatan yang sesak, saya dan rakan sekerja WHO sangat bimbang tentang peningkatan risiko penyakit berjangkit,” kata Tedros pada X, sebelumnya Twitter.

    Israel berikrar untuk menghapuskan Hamas – yang dianggap sebagai kumpulan ‘pengganas’ oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah – sebagai tindakan balas terhadap serangan 7 Oktober yang menyebabkan kira-kira 1,140 orang terkorban, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka Israel.

    Kira-kira 250 tebusan turut diculik semasa serangan itu, lebih separuh daripadanya masih ditahan.

    Pengeboman udara tanpa henti Israel dan pencerobohan darat di Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 21,320 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza yang diperintah Hamas.

    Tedros berkata sejak pertengahan Oktober hingga pertengahan Disember, penduduk yang tinggal di tempat perlindungan terus mengalami masalah kesihatan.

    Beliau berkata hampir 180,000 orang menghidap jangkitan saluran pernafasan, manakala 136,400 kes cirit-birit telah direkodkan – separuh daripadanya dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah lima tahun.

    Ketua agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata terdapat 55,400 kes kutu dan kudis; 5,330 kes cacar air; dan 42,700 kes ruam kulit, termasuk 4722 kes impetigo. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda