PARIS, 30 DIS – Berjuta-juta orang di seluruh dunia bersiap sedia pada hari ini untuk sambutan Tahun Baharu yang dikurangkan secara drastik kerana kes koronavirus yang dicetuskan varian Omicron, mendorong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran ‘tsunami’ COVID-19 boleh membebankan sistem penjagaan kesihatan.
Koronavirus, pertama kali dikesan dua tahun lalu dan diisytiharkan pandemik sedunia pada Mac 2020, telah membunuh lebih daripada 5.4 juta orang, mencetuskan krisis ekonomi dan masyarakat dikenakan sekatan. Varian terbaharu Omicron, walaupun masih mengakibatkan simptom lebih ringan, telah mendorong tahap jangkitan melonjak tinggi dalam beberapa hari kebelakangan ini di Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan beberapa negara Eropah, memaksa kerajaan untuk melaksanakan semula sekatan.
Jumlah kes COVID-19 dalam sehari di seluruh dunia telah melepasi satu juta untuk pertama kali, menurut perangkaan AFP hari ini, dengan lebih daripada 7.3 juta dalam tempoh tujuh hari lalu.
Dari Greece ke Mexico, Barcelona ke Bali dan seluruh sempadan Eropah, pihak berkuasa telah membatalkan atau melarang perkumpulan awam, sama ada menutup atau melaksanakan perintah berkurung bagi kelab-kelab malam.
Di Perancis, memakai pelitup muka di kawasan terbuka adalah dimestikan semasa berjalan di Paris bermula Jumaat untuk semua penduduk yang berusia le-bih 11 tahun. Kelab-kelab malam telah ditutup sehingga Januari.
Di Sepanyol, perayaan awam telah dibatalkan di kebanyakan wilayah dan di bandar-bandar terbesar kecuali Madrid, di mana perhimpunan yang dibenarkan telah dikurangkan dengan keramaian 7,000 orang berbanding 18,000 sebelum wabak itu melanda Eropah.
Hari ini, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain mengumumkan bahawa ia akan mula membuka hospital lapangan sementara untuk membendung kemungkinan lebihan pesakit dalam hospital di England, di mana kerajaan tidak mewajibkan sekatan ke atas sambutan perayaan Tahun Baharu. – AFP
