Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    WHO: Cacar monyet tidak cetuskan pandemik

    GENEVA, 31 MEI – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata penyebaran cacar monyet di luar negara benua Afrika sekarang tidak semestinya akan menjadi pandemik.

    Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut menegaskan tidak ada sebab untuk berasa panik terhadap virus yang menyebabkan penyakit teruk itu kerana penghidapnya boleh pulih dalam tempoh beberapa minggu.

    Sejak Britain melaporkan kes pertama cacar monyet yang disahkan 7 Mei lalu, hampir 400 kes yang disyaki atau disahkan dilapor kepada WHO di sekitar 24 negara di mana virus itu bukan endemik.

    Pakar cacar monyet WHO, Dr Rosamund Lewis, berkata pihaknya tidak terlalu bimbang mengenai ancaman virus berkenaan.

    “Namun, adalah penting untuk mengambil langkah pantas bagi mengekang penyebarannya,” katanya ketika ditanya sama ada virus itu mungkin mencetuskan satu lagi pandemik, semasa taklimat epidemiologi.

    Pakar perubatan kini cuba mendapatkan kepastian mengapa virus itu merebak ke negara yang tidak pernah mempunyai kes cacar monyet dan mencari punca kenapa ia menjangkiti lelaki muda terutama golongan bawah usia 45 tahun.

    Penyelaras program jangkitan menerusi hubungan seksual WHO, Andy Seale, berkata cacar monyet bukan penyakit homoseksual dan menegaskan virus itu boleh tersebar ke mana-mana kumpulan jika bersesak dan bersentuhan.

    Sementara itu, Ketua Persediaan dan Pencegahan Epidemik serta Pandemik WHO, Sylvie Briand, mengesahkan ‘jangkitan pernafasan’ juga berlaku.

    “Masih banyak yang tidak kita ketahui,” katanya pada satu taklimat epidemiologi. – AFP

    Gambar mikroskop elektron serahan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit menunjukkan virus cacar monyet yang diperoleh daripada sampel kulit manusia. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...