Friday, January 3, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO desak Israel bebaskan pengarah hospital Gaza segera

    GENEVA, 30 DIS – Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini menuntut pembebasan segera Pengarah Hospital Kamal Adwan, Hussam Abu Safiya, yang kini ditahan oleh tentera Israel selepas serangan besar ke atas hospital tersebut.

    Serangan pada Jumaat dan Sabtu di Hospital Kamal Adwan di Beit Lahia menyebabkan fasiliti kesihatan utama terakhir di utara Gaza itu tidak beroperasi dan dikosongkan, kata WHO.

    “Hospitals di Gaza sekali lagi menjadi medan pertempuran dan sistem kesihatan berada di bawah ancaman serius,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus di X.

    “Hospital Kamal Adwan di utara Gaza kini tidak beroperasi selepas serangan, pemindahan pesakit dan kakitangan secara paksa serta penahanan pengarahnya. Lokasi beliau tidak diketahui. Kami menuntut pembebasan beliau dengan segera.”

    Tentera Israel berkata kelmarin bahawa pasukan mereka telah membunuh kira-kira 20 tentera Palestin dan menahan ‘240 pengganas’ dalam serangan tersebut, menyifatkannya sebagai ‘operasi terbesar’ yang dilakukan di wilayah itu.

    Gambar AFP

    Tentera juga menyatakan bahawa mereka telah menahan Abu Safiya, mengesyaki beliau adalah pejuang Hamas. Ketika ditanya sama ada beliau telah dipindahkan ke wilayah Israel untuk soal siasat lanjut, pihak tentera tidak memberikan komen dengan segera.

    Tedros berkata pesakit yang berada dalam keadaan kritikal di Hospital Kamal Adwan telah dipindahkan ke Hospital Indonesia, yang juga ‘tidak berfungsi’.

    “Dalam keadaan kekacauan yang berterusan di utara Gaza, WHO dan rakan kongsi hari ini menghantar bekalan perubatan dan kebersihan asas, makanan dan air ke Hospital Indonesia dan memindahkan 10 pesakit kritikal ke Hospital Al-Shifa,” katanya.

    “Kami mendesak Israel untuk memastikan hak dan keperluan penjagaan kesihatan mereka dijaga.”

    Beliau juga berkata tujuh pesakit bersama 15 penjaga dan pekerja kesihatan berada di Hospital Indonesia yang rosak teruk dan tidak mampu memberikan rawatan.

    “Hospital Al-Ahli dan Hospital Pemulihan Al-Wafa di Bandar Gaza juga diserang hari ini dan kedua-duanya rosak,” tambah Tedros. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda