Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO Eropah gesa perlindungan lebih kukuh dalam sektor kesihatan

    COPENHAGEN, 19 NOV – Penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas dalam sektor penjagaan kesihatan memerlukan perlindungan undang-undang dan etika yang lebih kukuh bagi melindungi pesakit serta para petugas kesihatan, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) wilayah Eropah yang diterbitkan hari ini.

    Laporan mengenai penggunaan dan peraturan AI dalam sistem penjagaan kesihatan di Eropah itu berdasarkan maklum balas daripada 50 daripada 53 negara anggota dalam rantau Eropah WHO, termasuk Asia Tengah.

    Hanya empat negara, atau lapan peratus, telah melaksanakan strategi nasional khusus berkaitan AI dalam bidang kesihatan, manakala tujuh lagi masih dalam proses merangka strategi tersebut, menurut laporan itu.

    “Kita berada di persimpangan penting,” kata Pengarah Sistem Kesihatan WHO Eropah, Natasha Azzopardi-Muscat dalam satu kenyataan.

    “Sama ada AI digunakan untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan manusia, mengurangkan beban petugas kesihatan yang keletihan serta merendahkan kos rawatan, atau ia boleh menjejaskan keselamatan pesakit, mengancam privasi dan mengukuhkan ketidaksamarataan dalam penjagaan,” katanya.

    Hampir dua pertiga negara di rantau itu telah menggunakan diagnostik berasaskan AI, khususnya dalam pengimejan dan pengesanan, manakala separuh negara telah memperkenalkan chatbot AI bagi penglibatan dan sokongan pesakit.

    WHO menggesa negara anggota agar menangani ‘risiko berpotensi’ berkaitan AI, termasuk ‘keputusan berat sebelah atau berkualiti rendah, kecenderungan automasi, kemerosotan kemahiran klinikal, pengurangan interaksi doktor-pesakit serta ketidaksamarataan hasil rawatan bagi populasi terpinggir.’

    Peraturan dilihat bergelut mengejar perkembangan teknologi, menurut WHO Eropah, sambil menyatakan bahawa 86 peratus negara anggota menganggap ketidakpastian undang-undang sebagai halangan utama penggunaan AI. – AFP

    Natasha Azzopardi-Muscat berucap semasa temu bual eksklusif di Ankara, Turkiye pada 23 November 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda