COPENHAGEN, DENMARK, 18 APRIL – Hampir setahun selepas wabak mpox (cacar monyet) berlaku di Eropah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin menggesa benua itu supaya berwaspada terhadap wabak itu menjelang musim perayaan.
Untuk itu, kempen baharu dilancarkan ketika Eropah bakal mengalami musim bunga dan musim panas apabila beberapa festival Pride berlangsung di seluruh pekan dan bandar, kata Pejabat Wilayah WHO bagi Eropah dalam kenyataan akhbar.
Matlamat kempen itu adalah untuk menekankan mesej bahawa “cacar monyet kekal bersama kita dan kita pelu sentiasa berwaspada”, lapor Xinhua.
Kempen ‘Ready for It’ dilancarkan walaupun terdapat penurunan ketara bilangan kes mpox sejak beberapa bulan kebelakangan ini, berikutan kebimbangan WHO Eropah bahawa kemungkinan wabak itu berlaku di luar rantau ini, sama ada dari kawasan endemik atau negara yang baru terjejas.
Untuk menyokong mesej kempen itu, WHO Eropah merancang mengeluarkan katalog sumber mengenai perhimpunan besar-besaran mpox dan persediaan untuk acara yang besar, termasuk panduan dan maklumat terkini untuk pihak berkuasa dan penganjur acara. – Bernama


