WHO: Imuniti kelompok sukar dicapai

GENEVA, 12 JAN – Pakar sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa imuniti kelompok tidak mungkin dicapai tahun ini walaupun vaksin COVID-19 dihasilkan secara besar-besaran.

Ketua saintis WHO, Soumya Swaminathan berkata penghasilan dan pengagihan vaksin akan mengambil tempoh yang panjang dan sukar bagi mengekang penularan koronavirus berkenaan dalam tahun ini.

“Kita tidak mampu mencapai tahap imuniti kelompok tahun ini. Oleh sebab itu penjarakan fizikal, pemakaian penutup mulut dan hidung serta amalan selalu membasuh tangan amat penting,” katanya.

Selain itu, kumpulan pakar turut melahirkan kebimbangan berhubung penularan varian baharu virus terbabit seperti mana dikesan di Britain dan Afrika Selatan selain yang terbaru di Jepun.

Varian baharu virus itu dikesan mampu merebak dan menjangkiti individu dengan lebih cepat.

Kadar jangkitan di seluruh dunia pula terus meningkat dengan ketara terutama di Eropah, meskipun banyak negara sudah melaksanakan sekatan ketika vaksin virus itu sedang diagihkan.

Syarikat Jerman, BioNTech yang bekerjasama dengan Pfizer dalam menghasilkan vaksin pertama diluluskan di Barat, memaklumkan mereka boleh meningkatkan pengeluaran vaksin terbabit daripada 1.3 bilion kepada dua bilion dos.

Setakat ini, COVID-19 sudah menjangkiti 91,378,555 orang termasuk mengorbankan 1,954,665 nyawa di 219 negara di seluruh dunia. – AFP

Gambar bertarikh 10 Januari 2021 menunjukkan profesional perubatan dari Univeriti Kesihatan & Sains Oregon mengasingkan picagari dengan vaksin Moderna di klinik pandu lalu di Portland, Oregon.WHO memberi amaran bahawa imuniti kelompok tidak mungkin dicapai tahun ini walaupun vaksin COVID-19 dihasilkan secara besar-besaran – AP