Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO isytihar koronavirus darurat kesihatan global

    GENEVA, 31 JAN  – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengisytiharkan wabak koronavirus sebagai darurat kesihatan dunia, lapor agensi berita Anadolu.

    Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus di ibu pejabat WHO Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva selepas mesyuarat jawatankuasa darurat.

    “Ini adalah wabak yang tidak pernah berlaku dan memerlukan tindak balas yang belum pernah dibuat sebelum ini,” kata Tedros.

    Pada Rabu, Ketua WHO itu tiba dari China selepas bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping.

    Beliau memuji China terhadap tindakan pantas kerajaan itu bagi mengekang wabak berkenaan dan berkata, perisytiharan ini bukan hukuman terhadap cara China mengendalikan wabak itu yang mengorbankan 213 orang dengan lebih 8,000 kes dicatatkan.

    Tedros menegaskan, sebanyak 98 kes disahkan di 18 negara di luar China.

    “Kita bersama-sama dalam perkara ini, dan kita hanya boleh membasminya bersama-sama,” kata ketua WHO itu sambil menambah, tiada sebarang cadangan mengenai perjalanan dan perdagangan dibuat setakat ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Darurat WHO, Didier Houssin, memberitahu pemberita meskipun jawatankuasa berkenaan berbeza pendapat sama ada mahu mengisytiharkan darurat global pada mesyuarat minggu lalu, keputusan semalam dibuat hampir sebulat suara.

    Novel koronavirus (2019-nCoV), yang mula dikesan di Bandar raya Wuhan dikatakan merebak kepada manusia daripada haiwan, terutama kelawar.

    Virus ini mencetuskan kebimbangan dunia selepas kes penyakit berkenaan dilaporkan di seluruh Asia, Eropah, Amerika Syarikat dan Kanada.

    Pelancong dari China disaring bagi mengesan penyakit itu di lapangan terbang seluruh dunia.

    Beberapa penerbangan sudah pun menggantung penerbangan ke Wuhan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda