Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO isytihar wabak polio di Indonesia berakhir

    JAKARTA, 23 NOV – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak polio di Indonesia secara rasmi berakhir selepas hampir tiga tahun usaha respons intensif, menurut pegawai pada Jumaat.

    Indonesia kekal hampir bebas polio sejak penyakit yang sangat mudah berjangkit itu diisytiharkan dihapuskan di negara tersebut pada 2014.

    Namun lapan tahun kemudian, satu wabak muncul di wilayah konservatif Aceh, didorong oleh gabungan berbahaya kadar imunisasi rutin yang rendah secara konsisten dan keadaan persekitaran yang tidak sihat serta pada 2021, hanya sebanyak 50.9 peratus anak damit yang lahir di Aceh menerima vaksin polio.

    Pegawai berkata, kadar imunisasi polio di Aceh jauh ketinggalan berbanding wilayah lain, dengan usaha terjejas akibat penularan maklumat palsu meluas yang mendakwa vaksin tidak selaras dengan kepercayaan agama, antara lain.

    Kerajaan juga memberi keutamaan kepada vaksinasi COVID-19 sejak ia mula tersedia.

    Dalam tempoh dua tahun berikutnya, kes muncul di wilayah Banten, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, Maluku Utara, Papua Tengah, Papua Pegunungan dan Papua Selatan, mendorong pelaksanaan imunisasi besar-besaran dan kempen penerangan serta hampir 60 juta dos tambahan vaksin polio diberikan kepada kanak-kanak sepanjang usaha respons tersebut.

    Kes polio terakhir yang disahkan adalah di wilayah Papua Selatan pada Jun 2024 dan sejak itu, tiada polio dikesan dalam kalangan kanak-kanak atau persekitaran, mendorong WHO mengisytiharkan berakhirnya wabak tersebut pada Rabu.

    Dalam pengumuman bersama pada Jumaat, Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin mengaitkan kejayaan itu dengan “dedikasi para petugas kesihatan serta komitmen ibu bapa dan komuniti,” manakala Pengarah Serantau WHO bagi Pasifik Barat, Saia Ma’u Piukala, menyifatkan pencapaian itu sebagai “langkah penting ke arah pembasmian global,” sambil menyeru langkah berwaspada diteruskan.

    Dengan tamatnya wabak polio, Sadikin berikrar untuk memastikan Indonesia kekal bebas polio melalui pengukuhan imunisasi rutin, peningkatan pengawasan, kerjasama rentas sektor dan sokongan komuniti. – AP

    Gambar fail ini menunjukkan seorang petugas kesihatan memberikan vaksin kepada kanak-kanak semasa kempen imunisasi polio di Aceh, Indonesia pada 28 November 2022. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda