WHO jangka peningkatan masuk hospital

GENEVA, 14 DIS – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan peningkatan dalam jumlah kemasukan ke hospital dan kematian yang berkaitan dengan strain baharu COVID-19, Omicron, lapor Sputnik.

Kelmarin, Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom mengesahkan kematian pertama berkaitan Omicron.

“Disebabkan bilangan kes yang dikaitkan dengan varian membimbangkan itu meningkat secara global, kami menjangkakan jumlah kes dimasukkan ke hospital dan juga kematian akan dilaporkan,” menurut WHO dalam satu kenyataan.

WHO memaklumkan, banyak negara masih belum mempunyai kapasiti untuk menganalisis semua kes atau kematian secara konsisten, menyebabkan sukar untuk memberi maklumat tepat mengenai kematian yang berkaitan dengan varian tertentu.

Badan dunia itu menjangkakan lebih banyak maklumat mengenai Omicron akan diperoleh dalam minggu-minggu akan datang.

“Maklumat lanjut diperlukan untuk memahami sepenuhnya gambaran klinikal mereka yang dijangkiti Omicron dan WHO menggalakkan negara menyumbang kepada pengumpulan dan perkongsian data pesakit yang dimasukkan ke hospital melalui Platform Data Klinikal COVID-19 WHO,” menurut kenyataan itu. – Bernama