WHO: Kadar vaksinasi COVID-19 ‘belum mencukupi’

COPENHAGEN, 10 JUN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran hari ini bahawa kadar vaksinasi di Eropah masih lagi perlahan dalam usaha untuk menghentikan kemunculan semula virus dan menggesa negara-negara untuk mengekalkan langkah perlindungan.

Menurut organisasi tersebut, 30 peratus penduduk yang menerima satu vaksin manakala 17 peratus sepenuhnya divaksin di rantau Eropah di bawah WHO – yang meliputi 53 buah negara dan wilayah termasuk beberapa di Asia Tengah.

“Walaupun kita sudah sampai ke tahap ini, kita belum lagi pergi jauh,” Hans Kluge, pengarah serantau WHO bagi Eropah, memberitahu sidang media.

“Liputan vaksinasi sangat jauh daripada mencukupi untuk melindungi rantau itu daripada kemunculan semula penyakit itu. Perjalanan untuk mencapai kira-kira 80 peratus liputan penduduk dewasa masih lagi besar,” tambah Kluge.

Dia menekankan bahawa rantau itu telah menyaksikan penurunan kes baharu, yang dimasukkan ke hospital dan kematian selama dua bulan berturut-turut namun menggesa rantau itu untuk mengelak mengulang ‘kesilapan’ musim panas lalu yang melonggarkan langkah terlalu awal, membawa kepada gelombang baharu pada musim luruh. – AFP