KAMPALA, 31 JAN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kelmarin, mengumumkan yang pihaknya mengerahkan pasukan perubatan kecemasan bagi membantu Uganda menangani wabak Ebola yang mengorbankan seorang petugas kesihatan di ibu negara, Kampala, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan WHO yang dikeluarkan, pasukan tersebut akan memberikan sokongan teknikal dan logistik kepada Kementerian Kesihatan Uganda.
Kementerian itu, kelmarin, mengisytiharkan wabak Ebola selepas seorang jururawat lelaki berusia 32 tahun yang bertugas di Mulago National Referral Hospital di Kampala meninggal dunia akibat virus Ebola Sudan Rabu lalu, menjadikan Ebola wabak pembawa maut kelapan di negara timur benua Afrika itu.
Menurut WHO, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kesihatan Uganda untuk menggiatkan semula sistem pemantauan dan pengurusan kes yang kukuh, selain mobilisasi komuniti dan komunikasi risiko bagi menangani wabak itu.
Kes yang disahkan, yang dikenal pasti sebagai kes indeks, pada awalnya mengalami simptom demam dan mendapatkan rawatan di beberapa fasiliti kesihatan, termasuk di Mulago serta daripada seorang pengamal perubatan tradisional, menurut pihak berkuasa kesihatan.
Setakat ini, seramai 45 kontak disenaraikan dan diasingkan, termasuk 30 petugas kesihatan dan pesakit dari Hospital Mulago, 11 ahli keluarga mangsa, serta empat petugas kesihatan dari Saidina Abubakar Islamic Hospital di Matugga, kata Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Diana Atwine.
“Vaksinasi ke atas semua kontak mangsa bagi mencegah penyakit virus Ebola akan dimulakan serta-merta. Bekalan vaksin yang ada akan diutamakan untuk kontak dan petugas kesihatan,” katanya kepada media di Kampala, kelmarin.
Virus Ebola sangat mudah menular dan menyebabkan pelbagai gejala, termasuk demam, muntah, cirit-birit, kesakitan atau rasa lesu serta dalam banyak kes, pendarahan dalaman dan luaran.
Menurut WHO, kadar kematian akibat Ebola direkodkan antara 50 hingga 89 peratus, bergantung pada subjenis virus yang menjangkiti pesakit. – Bernama