Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO: Kes virus global turun 10 peratus

    GENEVA, 29 SEPT – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa jumlah kes koronavirus baharu dan kematian terus menurun dalam tempoh seminggu lalu, dengan kira-kira 3.3 juta jangkitan baharu dan sekitar 55,000 kematian dilaporkan, sekali gus menandakan penurunan sebanyak 10 peratus dalam kedua-dua jangkitan dan kematian.

    Dalam penilaian pandemiknya yang dikeluarkan semalam, agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata kemerosotan terbesar dalam kes baharu dilihat di Timur Tengah, Pasifik Barat dan Amerika Syarikat (AS).

    WHO pertama melaporkan penurunan besar dalam kes pada pertengahan September pada empat juta kes baharu, dengan kemerosotan dilihat di semua kawasan dunia, kali pertama dalam lebih dua bulan di mana kes COVID-19 telah berkurangan.

    WHO berkata semua rantau melaporkan penurunan 15 peratus dalam kematian, kecuali Eropah, yang mencatat jumlah kematian yang sama dengan minggu sebelumnya dan Afrika, di mana terdapat peningkatan sebanyak kira-kira lima peratus.

    Di Asia pula, jumlah kematian menurun hampir satu perempat. WHO mengingatkan peningkatan kes COVID-19 kemungkinan besar akan berlaku ketika Hemisfera Utara mengalami musim sejuk. Penyakit itu merebak dengan lebih mudah semasa musim sejuk ketika orang menghabiskan lebih banyak masa dalam rumah. Sekatan penjarakan sosial juga dilonggarkan di kebanyakan negara yang mempunyai tahap vaksinasi yang tinggi. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda