Saturday, October 5, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO lancar rancangan bendung penularan denggi

    GENEVA, 4 OKT – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mengumumkan rancangan global untuk memerangi demam denggi dan penyakit lain yang dibawa oleh nyamuk ketika ia merebak dengan lebih cepat dan jauh di tengah-tengah perubahan iklim.

    “Penularan pesat demam denggi dan penyakit arboviral lain dalam beberapa tahun kebelakangan ini mrupakan trend yang membimbangkan dan memerlukan tindak balas yang diselaraskan di seluruh sektor serta merentasi sempadan,” kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan.

    Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa jumlah kes denggi yang dilaporkan telah meningkat dua kali ganda setiap tahun sejak 2021, dengan lebih 12.3 juta kes, termasuk lebih 7,900 kematian dilaporkan hanya dalam tempoh lapan bulan pertama 2024.

    Jumlah itu hampir dua kali ganda daripada 6.5 juta kes yang dilaporkan sepanjang tahun 2023.

    Denggi boleh menyebabkan demam tinggi dan sakit badan, tetapi kebanyakan orang tidak mempunyai simptom dan WHO menganggarkan bahawa terdapat antara 100 juta hingga 400 juta jangkitan setiap tahun.

    Penyakit itu disebabkan oleh arbovirus yang dibawa oleh nyamuk Aedes aegypti, dengan kawasannya telah merebak seiring dengan pemanasan planet.

    Faktor-faktor seperti pembandaran yang tidak terancang dan amalan kebersihan, sanitasi serta air yang kotor, selain perjalanan antarabangsa, juga telah memudahkan penularan pesat penyakit itu yang kini menjadi endemik di lebih 130 negara, kata WHO.

    Pada masa ini, dianggarkan empat bilion orang di seluruh dunia berisiko dijangkiti denggi dan arbovirus lain, termasuk chikungunya dan zika, dengan jumlah itu dianggarkan meningkat kepada lima bilion menjelang 2050, tambah WHO. – AFP

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda