Sunday, May 11, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO lancar rangkaian kesan ancaman penyakit berjangkit

    GENEVA, 21 MEI – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam melancarkan rangkaian global bagi membantu mengesan ancaman penyakit berjangkit seperti COVID-19 dengan pantas, seterusnya berkongsi maklumat bagi mencegah penyebarannya.

    Rangkaian Pengawasan Patogen Antarabangsa (IPSN) akan menyediakan platform menghubungkan negara dan wilayah, menambah baik sistem mengumpul dan menganalisis sampel, menurut agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu.

    IPSN bertujuan membantu memastikan ancaman penyakit berjangkit dikenal pasti dan dikesan dengan pantas serta maklumat dikongsi dan diambil tindakan untuk mencegah malapetaka seperti pandemik COVID-19.

    Rangkaian akan bergantung pada genomik patogen untuk menganalisis kod genetik virus, bakteria dan organisma lain yang menyebabkan penyakit bagi memahami tahap penularan serta cara ia merebak.

    Data dikumpul akan dimasukkan ke dalam sistem pengawasan penyakit lebih luas, digunakan untuk mengenal pasti dan mengesan penyakit, dalam usaha membendung pandemik dan membangunkan rawatan dan vaksin.

    Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus yang memuji rangkaian baharu itu berkata ia boleh memainkan peranan penting dalam keselamatan kesihatan.

    IPSN yang diumumkan sehari sebelum mesyuarat tahunan negara anggota WHO bermula di Geneva, akan mempunyai sekretariat dalam Hab WHO untuk Perisikan Pandemik dan Epidemik.

    Ia adalah yang terbaharu daripada beberapa inisiatif dilancarkan sejak COVID-19 bertujuan meningkatkan keupayaan dunia mencegah dan bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap ancaman pandemik. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda