GENEVA, 2 JUN – Perhimpunan Tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi tempoh selama setahun kepada negara anggota mencapai persetujuan berhubung perjanjian penting bagi memerangi wabak masa depan.
Sebanyak 194 negara anggota WHO sudah berunding selama tiga tahun berhubung perjanjian yang antara lain, meningkatkan penyelarasan dan kerjasama antarabangsa sebelum serta ketika wabak.
Tempoh tiga tahun untuk mencapai perjanjian yang berakhir bulan lalu menemui kegagalan susulan tiada persefahaman dalam kalangan negara anggota.
Bagaimanapun, Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, memuji keputusan ‘bersejarah’ untuk membuat bidaan baharu bagi mencapai persetujuan dan yakin masih ada ruang untuk permuafakatan.
WHO menyasarkan perjanjian pada minggu ini, namun melanjutkan perbincangan selepas gagal menyelesaikan perpecahan yang mendalam antara negara kaya dan miskin mengenai isu seperti perkongsian vaksin dan kesiapsiagaan.
Ia bagaimanapun mencapai kesepakatan untuk mengemas kini peraturan kesihatan dikenali sebagai Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR), yang merangkumi sistem amaran berperingkat baharu untuk kecemasan kesihatan global.
“Keputusan bersejarah yang diambil hari ini menunjukkan keinginan bersama negara anggota untuk melindungi rakyat mereka dan dunia daripada risiko kecemasan kesihatan awam dan pandemik masa depan.
“Keputusan untuk memuktamadkan perjanjian pandemik pada tahun depan menunjukkan betapa kuat dan mendesak keinginan negara-negara anggota.
“Ini kerana soal penting sekarang adalah bila, bukan jika pandemik seterusnya berlaku,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP
