Saturday, October 5, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO lulus ujian diagnostik mpox pertama

    GENEVA, 4 OKT – Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata hari ini bahawa mereka telah meluluskan penggunaan ujian diagnostik pertama untuk mpox, yang merupakan alat utama di negara-negara yang sedang memerangi wabak itu.

    Lebih 800 orang telah meninggal dunia di seluruh Afrika akibat mpox, di mana penyakit itu telah dikesan secara rasmi di 16 negara, menurut pusat kawalan penyakit Kesatuan Afrika.

    “Kelulusan ujian untuk kegunaan kecemasan itu akan menjadi penting dalam memperluas keupayaan diagnostik di negara-negara yang menghadapi wabak mpox, di mana keperluan untuk ujian yang cepat dan tepat telah meningkat dengan ketara,” kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan.

    Ujian itu, yang dipanggil ujian Alinity m MPXV dan dihasilkan oleh Abbott Molecular Inc, membolehkan pengesanan virus mpox daripada sampel swab yang diambil daripada luka pada kulit manusia.

    “Dengan mengesan DNA daripada sampel ruam pustular atau vesikular, pekerja makmal dan kesihatan dapat mengesahkan kes mpox yang disyaki dengan cekap dan berkesan,” kata WHO.

    “Kapasiti ujian yang terhad dan kelewatan dalam mengesahkan kes mpox masih berterusan di Afrika, yang menyumbang kepada penularan virus yang berterusan,” katanya.

    Kelulusan ujian itu ‘merupakan satu pencapaian penting dalam memperluaskan ketersediaan ujian di negara yang terjejas,’ menurut kenyataan Yukiko Nakatani, Penolong Ketua Pengarah WHO.

    “Meningkatkan akses kepada produk perubatan yang terjamin kualitinya adalah penting kepada usaha kami dalam membantu negara-negara untuk membendung penularan virus dan melindungi rakyat mereka, terutamanya di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan,” kata Nakatani.

    Mpox, sebelum ini dikenali sebagai cacar monyet, disebabkan oleh virus yang disebarkan kepada manusia oleh haiwan yang dijangkiti tetapi juga boleh disebarkan dari manusia ke manusia melalui sentuhan fizikal yang rapat. – AFP

    Pesakit yang menghidap mpox, terbaring di hospitaldi Kamituga di wilayah Kivu Selatan pada 4 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda