Saturday, May 25, 2024
29 C
Brunei

    -

    WHO luluskan vaksin denggi TAK-003

    WASHINGTON, 16 MEI – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah meluluskan vaksin denggi baharu TAK-003 pada 10 Mei lepas.

    TAK-003 yang dibangunkan oleh Takeda, adalah vaksin denggi kedua yang prakualifikasi oleh WHO.

    Ia merupakan vaksin lemah hidup yang mengandungi versi lemah dari keempat-
    empat serotip virus yang menyebabkan denggi.

    WHO mengesyorkan penggunaan TAK-003 pada kanak-kanak, berusia enam hingga 16 tahun, di kawasan yang mempunyai beban dan intensiti penularan denggi yang tinggi.

    Vaksin perlu diberikan dalam jadual dua dos dengan selang tiga bulan antara dos. 

    Gambar Canva

    Pengarah WHO untuk Peraturan dan Prakualifikasi, Dr Rogerio Gaspar, berkata prakualifikasi TAK-003 merupakan langkah penting dalam pengembangan akses global kepada vaksin denggi.

    “Ia kini layak dibeli oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO).

    “Dengan hanya dua vaksin denggi setakat ini, kami berharap lebih banyak pemaju vaksin tampil untuk penilaian, supaya kami dapat memastikan vaksin sampai kepada semua komuniti yang memerlukannya,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi WHO kelmarin.

    Senarai prakelayakan WHO juga termasuk vaksin denggi CYD-TDV yang dibangunkan oleh Sanofi Pasteur. 

    Denggi adalah penyakit bawaan vektor yang disebarkan melalui gigitan nyamuk yang dijangkiti.

    Denggi teruk adalah komplikasi yang berpotensi membawa maut, yang boleh berkembang daripada jangkitan denggi. 

    Dianggarkan terdapat lebih daripada 100 hingga 400 juta kes denggi di seluruh dunia setiap tahun dan 3.8 bilion orang yang tinggal di negara-negara endemik denggi, yang kebanyakannya berada di Asia, Afrika dan Amerika.

    Jumlah terbesar kes denggi dilaporkan adalah pada 2023 dengan Wilayah WHO di Amerika melaporkan 4.5 juta kes dan 2,300 kematian. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tentera Iran keluarkan laporan nahas helikopter Raisi dan delegasinya

    TEHRAN, 24 MEI - Staf Am Angkatan Bersenjata Iran telah mengeluarkan laporan pertama mengenai aspek dan sebab-sebab di sebalik kemalangan helikopter baru-baru ini yang...